26 Dis 2013

Pengalaman Dihentak, Dihempuk, Dihenyak Sampai . . .?

Disember 26, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Dalam tak ada semangat, dalam mood yang merundum, dalam hati yang berbolak balik, sempat juga nak coret sepatah dua dalam blog. Macam yang diceritakan dalam entry yang sebelumnya, atas nasihat dan desakan keluarga (walau hati aku sendiri masih berbelah bahagi sebenarnya), aku pun ke pusat rawatan tersebut untuk mendapatkan rawatan.

Proses konsultasi dan rawatan cuma memerlukan lebih kurang satu jam setengah saja. Macam yang aku kata hati aku masih ragu dan belum boleh lagi mahu terima seadanya, salah satu sebabnya adalah kerana ilmu perubatan yang aku belajar selama 5 tahun ini buatkan aku sukar sedikit mahu menerima rawatan yang selain dari rawatan medikal. Bukan nak kata aku tak percaya, aku percaya pada sesetengah rawatan alternatif, cuma untuk yang ini mungkin aku perlu ambil masa sedikit untuk memahami dan mendekatinya. Barulah aku boleh timbang untuk yakin atau tidak padanya. Walaupun aku telah menjalani rawatan asas yang pertama.

Ada 4 kali rawatan asas. Sebulan sekali atau dua kali dan selepas habis semuanya, akan ada pula rawatan susulan. Kira macam follow up seperti di hospital dan klinik. Ya benar, memang tiada ubat cuma menggunakan skil saja dari juruterapi-juruterapi yang berpengalaman. Pesakit perempuan dengan juruterapi perempuan, begitulah juga sebaliknya.



Perasaan aku selepas selesai semuanya dan pulang ke rumah? Nak demam!!! Nak dijadikan cerita, semasa proses rawatan yang aku memang tak jangka begitu sekali prosesnya, aku telah mengalirkan berbesen-besen air mata. Ouh! Malu! Sudah lama aku tak menangis sampai tersedu sedan, teresak-esak, sampailah bengkak dua biji mata. Rawatannya seperti fisioterapi yang digabungkan dengan urutan dan exercise tulang belakang.

Perghhh!!! Adik-adik juruterapi semuanya kasihan dengan aku sebab kata mereka ini kali pertama mereka lihat pesakit yang menangis tersedu sedan semasa menerima rawatan. Jujur aku cakap, memang sakit!! Macam WWE pun ada. Terasa seperti dihentak, dihempuk, dilenyek sampai layu tak bertenaga. Yang ada cuma tangisan dan air mata.

Mak kata nak sihat kena korban sikit. Serious memang aku tak kuat nak tahan. Sakitnya cuma Tuhan saja yang tahu. Aku ada terbaca testimoni pesakit yang demam 2 - 3 hari selepas menerima rawatan. Barangkali urat saraf terkejut. Haha. Samalah juga dengan keadaan aku sekarang, terasa seperti bengkak satu badan dan cuma menanti demam.

Credit to JILL GREENBERG. Picture taken from HERE.

Automatik mood aku adalah kelaut dan merundum pada hari ini. Aku teramatlah bad mood saat dan ketika ini sampai tak bercakap langsung. Bukan nak protes, cuma entahlah hati aku berbolak balik, ragu-ragu, ditambah lagi dengan sakit lepas rawatan.

Beza selepas rawatan? Selain dari terkejut dengan bunyi tulang yang berkriuk-kriuk, adalah terasa ringan sedikit. Tapi sakitnya lebih lagi dari keringanan yang dirasa. Tapi, aku masih lagi simpan harapan, masih lagi belajar nak yakin pada orang, yakin yang segalanya ada penyembuhnya kecuali mati.

Selamat malam semua. Jaga diri. Assalamualaikum.


Usaha

Disember 26, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Hari ini hari Khamis. Erm! Sudah lebih sebulan mak begitu beriya mengajak aku KE SINI semenjak aku tidak sihat. Macam-macam dah mak suruh aku makan, suruh berubat, dan aku memang jenis agak liat nak dengar. Tapi kali ini aku turutkan juga. Mak mendengar tentang pusat rawatan tersebut melalui makcik aku dan juga menerusi saluran radio IKIM.

Temujanji telah diatur. Petang ini. Gementar juga sebab aku jarang mahu terima rawatan kaedah alternatif, tapi orang kata kita usaha untuk berubat untuk sembuh tapi selebihnya kita serah pada ALLAH kerana semuanya datang dari DIA.

Untuk kawan-kawan pembaca, nikmatilah kehidupan sihat anda sekarang sebab kita tak tahu bila tiba saat dan waktunya kita akan sakit. Bersyukurlah sentiasa dengan nikmat sihat yang ALLAH berikan.

Salam Khamis. Jaga diri. Assalamualaikum. 

23 Dis 2013

Sekelip Mata

Disember 23, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Sekelip mata saja. Ya benar, dalam sekelip mata saja ianya berlaku, sangat pantas dan memang tidak aku jangka dan sangka-sangka. Perasaan pun tak tahu dah nak rasa bagaimana. Ralat? Sedih? Marah?

Adalah dalam sebulan lepas, aku telah membeli sebuah laptop baru. Selama hidup ini aku dah menggunakan 2 buah laptop dan kedua-duanya sangat lasak dan tahan lama tanpa sebarang major problem. Dan kedua-duanya adalah jenama ACER dan berjaya aku jaga sampai 6 tahun lamanya. Lama bukan?

Dek kerana terpegun dengan kecantikan si merah jambu SONY VAIO, maka aku pun belilah dengan hati yang riang gembira. Penggunaannya sama seperti aku gunakan ACER sebelum ini, tapi one fine day, laptop langsung tidak boleh dihidupkan. Tiada lampu tiada apa. Kosong. Gelap. Lalu aku hantar ke SONY CENTRE, dan laptop tersebut perlu dihantar ke pusat servis. Sayangnya masalah terlalu berat dan terpaksa pula dihantar ke KL. Sedih memang sedih. Nasib saja dalam warranty. Rupanya masalah berpunca dari hard disk dan segalanya terpaksa diformat semula.

Akibatnya? Segala data, file, gambar, drama-drama, filem-filem, yang aku dah kumpul selama 5, 6 tahun hilang begitu saja. DALAM SEKELIP MATA. Memang aku tak jangka ianya terjadi sebab aku tak pernah mengalaminya ketika aku bersama ACER dulu. Jadi aku memang langsung tak buat backup, ya aku tahu salah aku.

Dan akhirnya, dalam ralat, sedih dan marah, aku terpaksa ucap selamat tinggal kepada file yang kesemuanya bersaiz 400GB. Nak jerit boleh?4

AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA!!!!!!
:'(

Selamat malam. Assalamualaikum.


P/S : Rasa nak campak VAIO yang baru diformat. Urgh!!!

19 Dis 2013

#Throwback# Kisah Suami, Isteri Dan Selimut Mereka

Disember 19, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.
Ini adalah sesi "campak belakang" atau nama popularnya "throwback" blog Cahaya Yang Riang Gembira. Dulu dalam pandangan mata aku, blog ini ada "gah"nya juga, ada pengikut setianya juga, ada ramai juga pengunjungnya, ada berpuluh komennya juga. Tapi sekarang, zaman kegemilangan itu dah perlahan-lahan pudar sinarnya dan jatuh ke"gah"annya. Mungkin kerana dunia berubah, masa berubah, dan aku juga turut berubah.

InsyaAllah jika ada kelapangan dan kerajinan, aku akan kongsikan antara entry-entry yang pernah diminati dan suka dibaca oleh pengunjung Cahaya Yang Riang Gembira di zaman dulu kala. Moga dapat mengenang semula memori indah yang mungkin takkan kembali.

* * * * * * * * * *

Di dalam sebuah bilik.. Gelap tiada berlampu. Hanya percikan cahaya bulan yang mengambang penuh dari luar memancar sedikit menerangi bilik besar itu. Dalam samar-samar, tiba-tiba kedengaran suara seorang lelaki. Dan seorang perempuan. Sedang berbaring sambil berbicara hati ke hati.. =p


Lelaki
Sayang.. Awak tak aci betul kan.. Dulu sebelum kahwin awak kata awak tak suka pakai selimut masa tidur..

Perempuan
Dan.. Sayang ingat lagi abang kata, abang terima seadanya sayang yang suka tidur tak pakai selimut kan?

Lelaki
Menggediklah awak ya.. Abang serious ni..

Perempuan
Bukan menggedik.. Saja nak manja-manja.. Haha.. Habis tu apa masalah abang sekarang?

Lelaki
Masalah besar sayang oii.. Tiap-tiap malam tidur, selimut abang mesti hilang.. Bangun pagi tengok, amboi sedapnya sayang berkelubung dalam selimut..

Perempuan
Ekeke.. Pengorbanan namanya tu abangku sayang..

Lelaki
Tak apalah sayang.. Abang tak kisah sangat.. Hehehehehe.. *gelak panjang* Sebab di malam yang bersejarah ini, abang tak akan benarkan sayang merebutnya dari abang.. Pertarungan malam ni abang yang akan menang..

Perempuan
Okey.. Kita tengok!!! *sambil jeling-jeling manja pada abang sayang*

* * * * * * * *
Tak disangka-sangka.. Malam itu, perebutan selimut berlaku.. Tapi tiada yang kalah dan tiada yang menang.. Sebabnya? Si isteri memang kaki rebut selimut.. Tapi si suami pun bijak dan ada idea sendiri untuk mendapatkan selimut tersebut.. Akhirnya, sama-sama dapat tidur dalam selimut.

Dalam sesebuah perhubungan, tak kiralah kekasih, suami isteri, malah adik beradik juga antara sahabat, masalah memang akan wujud.. Sebabnya, manusia macam-macam. Lain orang lain ragam.. Masalah kalau tak ditangani dengan baik, pengakhiran pasti akan tercetus pergaduhan. Tak elok gaduh-gaduh ya anak-anak sekalian. Heee. Orang yang rasional dan bijak pasti akan cari jalan untuk selesaikan masalah. Hasilnya? Pertama, masalah settle. Kedua, dua-dua pihak dapat benefit.

Dalam perkahwinan misalannya, pasangan yang bijak takkan jadikan pergaduhan sebagai penyelesaian sebuah permasalahan. Cuba menerima ketaksempurnaan pasangan, dan gunakan akal fikiran yang waras, juga rasional untuk melengkapkan ketaksempurnaan tersebut dan bukannya mengungkit, membangkit dan akhirnya perkahwinan "jatuh sakit". After all, perkahwinan yang kita semua inginkan sudah pastinya untuk seumur hidup. Ada yang nak kahwin setakat sehari dua saja? Kalau begitu, baik main pondok-pondok. =p

Mesej yang cuba nak disampaikan?

1) Masalah perlu diselesaikan dengan bijak dan rasional, bukan dengan bergaduh.

2) Perkahwinan adalah soal menerima ketaksempurnaan dan belajar saling melengkapkan dan saling menyempurnakan. Bukan soal gaduh-gaduh, tikam-tikam, campak asid, alkali, dan seangkatan dengannya. Kalau pasangan zaman mak ayah, atuk nenek kita rata-rata boleh hidup bahagia, kenapa tidak kita?

Assalamualaikum.. Nite peeps.. Salam 20 Ramadhan.. =)

FOOT NOTE: Aku memang tak suka pakai selimut. Tapi siapa tahu, masa akan datang, aku mungkin akan berebut selimut. Haha.. =p

* * * * *

Aku tertanya, adakah aku sekarang dah jadi lebih matang atau aku sebenarnya semakin kebudak-budakan. Bandingkan saja entry dulu dengan sekarang, beza, memang sangat berbeza. Hmm.

Jaga diri semua. Assalamualaikum.


18 Dis 2013

Scribble

Disember 18, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Hey! It's been sometime eyt! Been going ups and downs of life, but here I am. Surviving, still. Everyday I'm telling myself to be strong, to be calm, to be as positive as I could.

Well, the happy thing sure is coming after all the suffering and struggling. Life is about to get a happy turn.


The thing is, I always believe that it's not always cloudy and rainy, sunny will surely comes after. Even if it's cloudy, it's rainy, just gather your strength and get thru, you'll reach for your happiness. InsyaALLAH.

I wanna thank the people that used to make me happy, people that used to make me smile, people that brought tears in my life, and every people that I met along the way. Thank you.


Everything will be fine and syukur to Allah for this feeling, the feeling of being loved. I'm praying that everyone will find their own happiness. InsyaALLAH.

But, remember to always stay positive. And, smile. Yerp! Smile! Take care people. Assalamualaikum.

17 Dis 2013

14 Dis 2013

Gila Lawak Atau Lawak Gila?

Disember 14, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Tengahari buta, tambah lagi baru lepas masak dan mengemas, lalu mentekedarah dengan tak ingat dunia, maka memang sangat tergoda untuk tertutup rapat. Barangkali awal sangat bangun agaknya hari ini. Haha.

Aku nak kongsikan persembahan Maharaja Lawak Mega Minggu Kelima malam tadi yang paling aku suka. Dengan tema minggu ini iaitu BEBAS, rata-rata peserta menunjukkan kemajuan dan boleh dikatakan episod malam tadi lawak jugalah.

Dam persembahan yang terpaling disukai dan diminati adalah perse,bahan kumpulan Shiro. Walau hakikatnya aku peminat tegar kumpulan Sepahtu, tapi Shiro telah berjaya sedut perhatian dan curi gelak tawa aku. Haha. 

Jom saksikan Shahrol menjadi bangla penjual karpet. Scene paling epik dah tentu bila makcik cantik disuruh bercakap dengan Babu melalui telefon. Gila lawak arr!!! Apa pun, selamat berhujung minggu. Dah 2 minggu tiada ulasan Maharaja Lawak, terlalu sibuk dengan kehidupan sekarang. Kehidupan yang riang gembira. Heeee. ^^

Happy weekend. Take care. Assalamualaikum.

P/S : Harap Sepahtu dapat kembalikan semula lawak macam dulu. Lawak yang bila penonton tengok, boleh terasa ianya sampai ke hati. Lawak yang ada mesej dan moral, yang ada unsuru keMelayuan, yang buat kita rasa dekat dengan lawak mereka. Macam lawak Sepahtu dulu-dulu. :)

Wala pun tak kurang hebatnya. Pssttt!!! Best juga bila gambarku dapat like dari Wan Raja Lawak di Instagram. Hahaha. Ngengada kan.


9 Dis 2013

6 Dis 2013

Sejuk Beku! Frozen!

Disember 06, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Dah dua tiga hari hujan turun kadang lebat kadang renyai. Alhamdulillah. Hujan itu kan rezeki. Namun ada sesetengah tempat telah dibanjiri air dan situasi agak mencemaskan dan teruk juga kebelakangan ini. Terus berdoa semoga semuanya akan baik-baik saja dan reda seperti sedia kala.

Melaka pula cuaca memang sejuk. Kadang rasa macam sejuk beku. Macam dah jadi frozen food pun ya juga. Dah beberapa hari ini memang tidur pun tak berkipas malah berselimut. Tidur pun lena, barangkali penat badan agaknya.

Suka hujan. Tenang, mendamaikan.


Esok pulang saja dari kerja nak angkut adik-adik tersayang tengok wayang. Cerita Frozen!!! Tak sabar nak tengok cerita kartun dan habiskan masa dengan adik-adik. Terapi stress orang kata. Habis semua seat twin aku borong. Selesa sikit.

Nanti kita cerita di ruangan lain pula berapa bintang untuk Frozen. Selamat berhujung minggu semua. Jaga diri. Jangan main hujan, nanti demam. Assalamualaikum.


1 Dis 2013

Kejam

Disember 01, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Baca kisah pembunuhan 3 beradik di Alor Setar. Ya Allah. Apa telah terjadi dengan dunia ini? Kekejaman melata. Nilai kemanusiaan, kosong!!! Tidak takutkah pada Allah dan balasanNYA? Tidak kasihankah pada kedua-dua orang tua kanak-kanak bertiga itu.

Semoga tenang di sana. Moga diberi balasan yang setimpal pada si pelakunya.
Selamat malam semua. Assalamualaikum.


HEART SPEAKS : Hati rasa sedih, sayu, gentar dan takut dengan keadaan dunia dan perilaku manusia. Ya ALLAH.

Happy Birthday Neng

Disember 01, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Selang beberapa hari saja dari 27 November, hari lahir si Detektif Conan. Hari ini, 1 Disember 2013, hari lahir seorang lagi insan kesayangan dalam hidup aku. Sahabat dunia akhirat yang aku kenal sejak 2006 lagi. Sudah masuk tahun ketujuh dan masih terus menghitung.
:)

Untuk sahabat tersayang, Faizah Fuad, merangkap neng untuk selamanya, selamat hari lahir yang ke-26. Semoga sentiasa diberi kesihatan yang baik, berbahagia dan bergembira bersama keluarga dan suami yang tercinta. Sayang kamu.

Selamat hari lahir neng! Jaga diri.
^^ 


Assalamualaikum.


HEART SPEAKS : There will be people who appreciate your wishes and your entries, don't worry and don't be sad for those who never cares. Just so you know, forget those who never give a damn care. Someone said to me, "Tak payah ingat dekat orang yang tak ingat kita."



30 Nov 2013

Paranoia Ganda Dua

November 30, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Ya ya! Benar benar! Entry ini tidak lain tidak bukan adalah kesinambungan dari entry PARANOIA DAN PHOBIA yang lalu. Lalu dinamakannya PARANOIA GANDA DUA. Semenjak dua menjak, tidur tak pernah lelap sepenuhnya. Mimpi manisnya jarang, mimpi ngeri dan buruknya selalulah. Ini mesti kes tak basuh kaki tangan, tak baca doa.

"Eh! Basuhlah! Bacalah!"

Dah dua tiga kali mengalami mimpi yang sama, aku syak dek kerana terlalu paranoia dengan keadaan sekeliling, maka secara tak langsung ianya terbawa-bawa sampai ke alam mimpi.


Entah macam mana aku dengan tak sengaja terlibat dalam satu kumpulan yang terdiri dari 12 orang yang menjadi target pembunuh upahan. Hidup dalam mimpi, memang tak usah katalah, jenuh aku berjalan, penat lagi berlari, semata-mata nak melarikan diri dari pembunuh upahan. Aku sepatutnya adalah individu ke dua belas yang menjadi sasaran mereka. Dan aku dah saksikan dengan mata kepala aku sendiri, macam mana 11 orang sebelum aku mati ditembak, ditikam dan macam-macam cara lagi yang mengerikan untuk membunuh orang.

Benda jadi betul depan-depan mata, jadi kehidupan aku dah macam pelarian. Aku rasa dalam mimpi aku memang aku kurus gila kot. Asyik berlari saja. Dan akhir sekali, aku meminta bantuan seorang perisik untuk selamatkan diri. Tapi masih juga aku terpaksa berhadapan dengan pembunuh upahan tersebut. Dan mimpiku terhenti di situ saja. Takut sangat sampai terjaga, terduduk. Huhu. Pisau betul dekat perut mana tak bangun kan?


Kenapa kami dijadikan sasaran? Dengar ceritanya dek kerana kami makan dekat sebuah restoran yang sebenarnya digunakan untuk buat ujikaji pada manusia dengan menggunakan makanan. Dan kami yang ber dua belas orang ini tak sengaja dapat makanan yang baik dan masih elok dan belum lagi tercemar. Haha.

Banyak sangat tengok filem omputih pun ya juga aku ni. Haha. Tapi paranoia aku memang tak surut-surut lagi. Susah nak tangani sebenarnya. Terpaksa set otak dan belajar untuk berfikir positif, berserah dan bertawakal pada ALLAH. Sesungguhnya DIA sebaik-baik tempat untuk bersandar.
:)

Salam hujung minggu untuk semua. Have a great day. Jaga diri. Assalamualaikum.


27 Nov 2013

Selamat Hari Lahir Penyebab Senyuman Dalam Rahsia :)

November 27, 2013
Assalamualaikum.

27 November hadir lagi. Cuma tahunnya yang berbeza. Begitu juga dengan usia. Menginjak lagi satu tahun nampaknya. Entry ini entry yang ke satu ribu dan satu dalam Cahaya Yang Riang Gembira. Bukan satu juta kali dan satu.
:)

Seperti di tahun 2010, entrynya tiada bergambar, entry tahun ini mungkin kurang gambar. Tidak semeriah entry di tahun 2011, mungkin lebih banyak tulisan barangkali berbanding tahun 2012. Hakikatnya, kau aku, kita sahabat sejak 2009 lagi. Penyebab Senyuman Dalam Rahsia pula adalah gelaran aku untuk kau. Tapi, gelaran itu rahsia. Cuma aku saja yang tahu gerangannya siapa. Shhh. Detektif Conan pun boleh juga. Kartun!!

Cebisan ini dicoret tanggal 4 November 2013. Sehari selepas aku nekad untuk padamkan terus gelaran Penyebab Senyuman Dalam Rahsia dan biarkan perasaan yang aku rasa kembali jadi kawan saja. Meletakkan noktah pada sebuah gelaran dari aku untuk kau.

Aku harap ini saat dan ketikanya sebelum aku melupakan gelaran Penyebab Senyuman Dalam Rahsia seluruhnya. Dan nanti, mungkin aku mampu jadi lebih berani berbicara dengan kau bila tiada lagi gelaran Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Dan mungkin beban yang kau rasa dengan gelaran yang aku beri itu akan hilang bersama. Aku tahu kau tak selesa dengan gelaran itu, maafkan aku kawan.

Maafkan aku kerana menghadirkan Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Maafkan aku kerana mengubah rasa dalam persahabatan ini. Bukan kau yang ubah, cuma aku yang terlalu ikutkan hati dan mencambahkan rasa. Maaf.



Tahun ini tahun 2013. Dicongak-congak, sudah 4 tahun kita berkawan dalam alam maya. Aku sendiri tak sangka, istilah kawan maya itu boleh bertahan begitu lama, maklum saja orang yang berkawan dan kenal melalui alam maya, kebanyakannya akan tenggelam dan senyap tiba-tiba saja lalu hilang tanpa khabar. Aku kagum dengan persahabatan kita.
:)

Cuti yang aku ada beberapa minggu sudah, aku gunakan sedikit untuk "mengenali" semula diri kau. Mengenali semula bagaimana kau dan aku, kita jadi sahabat. Lama, 4 tahun itu lama. Aku sangkakan aku cukup kenal kau sebagai seorang kawan maya, tapi sebenarnya banyak lagi yang aku tak tahu tentang kau.

1) JIWANG. Aku tak sangka kau ada sisi jiwang kau. Melalui pembacaan aku pada beberapa tulisan kau dulu, kau seperti ada menyimpan rasa / meminati seseorang sejak tahun pertama universiti dulu. Betul tak? Ayat kau yang paling aku ingat, "Aku sendiri tak faham kenapa aku suka wanita camni." Teringin nak dengar kisah hati dan perasaan Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Haha. Patut pun Lovers In Paris dilayan berkali-kali. Jiwang tahap petala ketujuh ni.

2) LAWAK. Atau pun, kebudak-budakan eh? Kau memang lawak, dan mungkin sebab aku duduk membaca entry 4 tahun sudah, dalam lawak kau aku terasa sangat kau begitu kebudak-budakan. Suka sangat puji diri sendiri. Tiap perkataan yang kau tulis pun terasa seperti aku baca tulisan budak sekolah rendah. Tunggang langgang. Haha. Sorry! :P

3) PELIK. Sampai sekarang aku masih beranggapan begitu. Bila aku baca tulisan dulu-dulu kau, lagi kuat anggapan aku. Haha. Pelik yang banyak ke arah misteri, dan kebudak-budakan. Haha. Itu yang buat aku rasakan, bila aku seolah dah kenal kau, tapi sebenarnya aku tak. Hmm.

4) Banyak cerita keluarga kau, cerita arwah ayah kau, yang aku dapat tahu sikit-sikit melalui tulisan kau. Nak tahu melalui diri kau sendiri memang payah. Perahsia sungguh. Aku tanya sepatah, setengah patah yang dijawab. :P


 Walaupun tak banyak, tapi paling tidak aku dah lebih sedikit mengenali kau berbanding dulu. Sedikitlah. Hehe. Macam-macam sisi diri kau yang aku dah baca. Cuma satu yang aku tahu tak berubah dari dulu, 4 tahun lepas sampai sekarang, kau tetap dengan loyar buruk kau.

Untuk terakhir kalinya, selamat hari lahir Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Jangan risau. Tahun depan, tajuk aku bubuh, selamat hari lahir kawanku. Kau takkan dengar dan baca lagi tentang Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Aku tahu kau tak suka sebenarnya kan? Hehe. Jaga diri. Jaga kesihatan. Jangan bosan-bosan selalu. Jangan berhenti kerja dulu, belanja aku makan dekat hotel 5 bintang dulu eh. Haha.
:P

Aku doakan kau berjaya dalam kerjaya, berjaya dunia dan akhirat, bahagia dengan kehidupan kau, dengan keluarga, dengan kawan-kawan dan, orang tersayang yang selalu buat kau pula tersenyum.

Assalamualaikum.


P/S : Penyebab Senyuman Dalam Rahsia. Titik noktah. Tutup buku. Maafkan aku dan perasaan ini. Maaf. Untuk yang kesekian kalinya, selamat hari lahir encik AD.
:)

  

25 Nov 2013

Along

November 25, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Ketemu ini di laman mukabuku seorang blogger. Dek kerana Cahaya Yang Riang Gembira sendiri adalah anak sulung dari 5 beradik, jadi deskripsi ini sangat menarik untuk dikongsi dan dianalisa sejauh mana kebenarannya. Eceh!
:p

Ini, adalah fakta tentang anak sulung. Yang dipanggil ALONG oleh mak dan abah juga adik-adiknya. Betul ke ini boleh dilabelkan sebagai fakta tentang seorang ALONG? 

* * * * *

1) ANAK MANJA MAK
Tepat sekalilah. Apa-apa pun memang terjah mak dulu, kalau tak sedap hati ke, kalau seronok ke, kalau sedih ke, kalau ada gosip ke, memang cari mak dululah. Walaupun mak lebih garang dari abah, tapi tetap lebih senang cerita dengan mak.

2) DEGIL
Haha. Adik beradik aku dan kawan-kawan serumah aku dulu memang selalu alami kesakitan hati pada perangai aku yang ini. Degil. Kalau aku kata tak nak, aku tak nak. Tapi aku tak susah nak pujuk. Cuma kalau berjaya dipujuk pun, confirm aku akan buat muka dan mood sekeliling akan jadi seperti berarak mendung kelabu. Memang buat orang rasa tak seronok. Haha.

Contoh macam kawan-kawan aku nak makan Johnny's, tapi aku tak berapa gemar dan nak makan Kenny Rogers. Aku tetap akan ikut cuma aku tak makan. Aku akan take away Kenny Rogers selepas itu. Memang bikin panas hati oranglah kan. Haha. Rasa bersalah juga kadang-kadang tapi kedegilan aku terlampau sangat.

3) TAK PANDAI PUJUK
Memang tak pandai. Tak retilah. Nak kata apa? Setakat pegang-pegang, belai-belai bolehlah tapi nak keluarkan dan sebut perkataan yang berunsur memujuk, haih, macam mana eh? 

4) CINTA
Bukan ke setia itu perlu??? Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.

5) PEGANG KATA-KATA
Apa yang orang lain kata pada aku, sesuatu yang bermakna, memang aku pegang. Dan bila dilupakan, aku akan tanya balik, aku akan keluarkan semula sebiji-sebiji ayat yang pernah diucapkan. Memang aku jenis orang yang susah nak lupa setiap perkataan yang bermakna dan datang dari orang yang bermakna pada aku. Sebab itu aku jenis ingat semua benda.

6) HATI LEMBUT / HATI TISU
Memang aku kadang-kadang nampak macam garang dan tough, even depan kawan-kawan, adik beradik. Tapi sebenarnya aku sangat sensitif. Cepat terasa hati. Dan aku tak adalah garang mana okay. Heee. Kalau orang tegur tentang perangai, aku memang either cepat merajuk atau cepat panas hati. Haha. Mengada kan? :p

7) ARAHAN
Aku jenis suka buat hal sendiri-sendiri. Memang susah nak mesra dengan orang. Memang jenis seriau kot nak bersosial. Inferiority? Hmmm.

8) PEMAAF DAN CARING
Ini pun diakui. Aku cepat marah, tapi aku cepat sejuk dan maafkan. Cuma kalau nak lupa mungkin aku susah. Caring? Haha. Ingat tak entry SELAMAT aku? Adakah itu caring, atau sebaliknya?  


Banyak lagi perangai buruk yang kena kikis, kena ubah, manusia memang tak sempurna, tapi kena cuba juga jadi yang lebih baik. Kan?

Selamat berhari Isnin. Jaga diri semua. Assalamualaikum.



24 Nov 2013

Dream

November 24, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Mimpi tidur malam minggu memang selalunya best-best belaka ke? Indah-indah selalu ya? Haha. Lama dah tak dapat mimpi indah-indah, manis-manis, semalam merasa jugalah. Haha.


Macam mana entah aku boleh baca blog seorang blogger, ada entry baru di dalamnya. Di penghujung entry, ada ayat yang buat aku terkejuk besar. Tapi sengih pun lebar.

"Kepada saudari blogger Nur Farhana, entah sejak bila saya dah mula sayangkan awak. Sudi tak awak jadi suri dalam hidup saya?"

Haa! Gitu sekali ayat dia. Hati rasa bunga-bunga. Debar tak ingatlah. Baru nak click komen, konon nak balas. Tup tup satu bunyi kuat kedengaran. Haish! Alarm ni dah tak ada time lain ke nak bunyi. Grrr. Akhirnya, tak sempatlah aku membalas pada pertanyaan tersebut. Haha. Gatai!

Okay. Itu aje. Salam hujung minggu. Assalamualaikum.



P/S : Macam biasalah, hanya mampu alaminya dalam mimpi. Hahaha.

Nak Tak?

November 24, 2013 0 Comments
Assalamualaikum.

Sempat membaca sebuah artikel lama yang dikongsi sahabat di laman mukabuku. Artikel tahun 2012 yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal di laman Saifulislam cukup buat aku sengih rabak mulut. Panduan yang sangat bagus untuk para jejaka di luar sana. Ehem! Penat sungguh mencari cinta ya. Hehe.

Meh aku kongsikan sedikit point-point dalam artikel yang bertajuk PANDUAN MENGAHWINI SEORANG DOKTOR.

* * *

GADIS ITU DOKTOR 

Anda mengahwini seorang gadis, yang anda pilih, dan cintai, kerana dirinya adalah dirinya, sebelum beliau seorang doktor. Pandanglah dia sebagai gadis itu, bukan sebagai seorang doktor. Dia mahu dirinya dicintai sebagai dirinya. 

Jika dirinya melakukan kesilapan, ia adalah kerana dirinya adalah dirinya, bukan kerana dia itu seorang doktor. Dia doktor di hospital atau klinik, tetapi dia ada gadis itu di hospital, klinik dan luar hospital serta luar klinik.

* * *

KESIBUKAN 

Kerja lain pun sibuk juga. Tetapi bekerja sebagai doktor memang sibuk. Namun sibuknya hanya seketika, di beberapa tahun permulaan bekerja. Ketika houseman (internship), ketika menjadi pegawai perubatan (MO), ketika tahun pertama hingga keempat semasa mengikuti program Sarjana Klinikal hingga berjaya menjadi pakar. Semasa beliau menjadi pakar, beliau masih sibuk, tetapi Insya Allah ketika itu anda juga sudah menjadi pakar menguruskan kesibukan  diri dan isteri. 

Jadi, jangan terkejut dengan kesibukan, menyalahkan kesibukan, marah-marah dengan kesibukan kerana ia sesuatu yang sepatutnya sudah ada dalam jangkaan. Mana mungkin semasa memandu di lebuhraya, tiba-tiba and terkejut melihat plaza tol! Memang ia sudah ada dalam jangkaan. Sediakan siling atau touch and go, sampai waktunya, bertindaklah seperti yang sepatutnya.


MENJADI SURI RUMAH?  (PALING AKU SUKA. HEEE.)

Jangan paksa doktor itu berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Jika anda berpegang dengan pendapat wanita lebih baik duduk di rumah, janganlah mengahwini seorang doktor. Perbelanjaan besar untuk menghasilkan seorang doktor. Pengorbanan yang besar untuk menghasilkan seorang doktor. Tugasan fardhu kifayah yang besar di bahu seorang doktor. Semuanya besar belaka apabila namanya doktor. 

Tetapi jika isteri anda berpendapat lebih baik berhenti kerja dan menjadi suri rumah, berilah sokongan kepada apa yang beliau yakini terbaik kerana itu akan membantu beliau membuat keputusan dengan baik, dan seterusnya keputusan yang dibuat menjadikan beliau seorang yang lebih baik. Anda dan anak-anak juga akan menikmatinya. Apa sahaja pilihan, sentiasa win some lose some. Berbijaksanalah kita dalam mengendalikannya.

* * *

HAL-HAL SAMPINGAN 

Doktor mungkin balik ke rumah membawa bakteria, batuk-batuk, conjunctivitis, bronchiolitis dan sakit-sakit berjangkit yang lain dengan kadar kebarangkalian yang tinggi sedikit berbanding kerjaya-kerjaya yang lain. Doktor itu juga mungkin akan terlebih risaukan kesihatan keluarganya, atau terlebih selamba terhadap kesihatan keluarganya. 

Anda beristerikan doktor, sedangkan anak anda mungkin (saya katakan, mungkin) berazam untuk tidak menjadi doktor. Anda rindukan pengalaman ke klinik kerana selepas berkahwin mungkin amat jarang anda akan ke klinik untuk mendapatkan ubat. 

Semua hal ini, remeh temeh, tetapi jika anda seorang yang kreatif, ia boleh menjadi perencah yang menceriakan rumahtangga! Batuk sama-sama. Selsema sama-sama. Mata merah ramai-ramai. Macam orang lain juga. Tetapi boleh bermain hospital-hospital di rumah dengan anak-anak!


KESIMPULAN 

Mahu hebat,  mesti berani mendepani risiko. Tidak boleh berjiwa pesakit lagi berpenyakit. Berkahwin dengan doktor, sangat besar khasiatnya untuk seorang lelaki hebat yang bersemangat nak masuk SYURGA ALLAH. 

Nak tak? 

HASRIZAL 43000 BSP Presiden Lantikan Sendiri Kelab Suami Doktor!

Kredit entry kepada Ustaz Hasrizal

* * *

Dek kerana sukakan perkataan NAK TAK maka aku jadikan tajuk entry, nak tak? Aku tengok ramai kawan-kawan aku berkahwin sesama doktor, tapi tak kurang juga yang berkahwin berlainan profesion, agaknya aku macam mana ya? Hmmm. 

Hati nak mencari tapi tiada daya, tapi tak mencari tak usaha orang kata ianya takkan datang bergolek depan mata. Haha. Redha sajalah. Semoga akan datang nanti, berjumpalah doktor Cahaya Yang Riang Gembira ini dengan insan yang akan melengkapi hidupnya. Aamin.

Salam Maghrib semua. Jaga diri. Assalamualaikum.
:)

16 Nov 2013

Couple

November 16, 2013 2 Comments
Assalamualaikum.

Umur 11 tahun, aku dilantik jadi Penolong Ketua Pengawas sekolah agama. Tugas aku mencatat kesalahan dalam buku besar, sebelum rehat panggil nama dan beritahu kesalahan, waktu rehat jadi mandur, jaga orang kena denda di padang sekolah.

Apa ke gatai sangat, umur 11 tahun minat budak lelaki kelas sebelah umur 10 tahun. Sebab inginkan keceriaan bila menjadi mandur mendenda orang, yakni dapat selalu melihat muka orang yang kita minat, jadinya aku selalu mendenda budak lelaki yang diminati itu dengan kesalahan yang orang kalau dengar mesti pandang atau mungkin jeling aku dan kata, "Eh! Kereknya akak pengawas ni. Rilek brader, brader rileks."

"Tut bin tut, tak pakai samping, rehat pergi padang."

"Tut bin tut, tak pakai songkok, rehat pergi padang."

"Tut bin tut, kasut kotor sangat, rehat pergi padang."

"Tut bin tut, tak selit baju dalam samping, rehat pergi padang."


Budak lelaki itu dengan gembira dan seronoknya menerima denda yang diberikan. Rupanya ada udang di sebalik ketam masak lemak cili api, budak lelaki kelas sebelah rupanya minat budak perempuan kelas sebelah, merangkap rakan sekelas aku yang juga seorang pengawas dan bersama-sama aku mendenda pelajar di padang.

Oh Hem Jie! Rupanya budak lelaki kelas sebelah ada agenda tersendiri juga. Tak lama selepas itu aku dengar gosip Mak Jemah, keduanya telah menjadi couple. Couple?? Apa kecil-kecil gatal nak bercouple ni? Haippp! Cubit kang! *sambil melalak lari keliling padang*

Masa aku tamat darjah 6, dengar cerita budak lelaki kelas sebelah dah pindah sekolah. Budak perempuan kelas sebelah merangkap rakan sekelas aku dah pun rasmi bercouple baru. Tapi bukan lagi dengan budak lelaki kelas sebelah, kali ini budak lelaki kelas sebelah dan sebelah lagi.

Moralnya, jangan salah guna kuasa, kita tak tahu, nanti-nanti kuasa yang kau salah gunakan itu akan backfire kau balik. Nah kamehameha!

Moral ada kena mengena ke tak eh dengan cerita aku? Hmm.

Selamat pagi. Assalamualaikum.


P/S : Budak zaman dulu couple dengan budak zaman sekarang couple lain macam benar beza dia. Tapi tak kisahlah, zaman dulu ke zaman sekarang ke, couple-couple eloknya letak tepi dulu. Belajar bagi pandai, belajar bagi berjaya, couple dengan buku-buku, couple dengan mak ayah adik beradik, couple dan bercintalah dengan Allah. Setiap benda yang memang dah tertulis, akan tiba pada waktu yang memang dah tercatit. 

Jadi, utamakan dulu keutamaan. Tanya pada diri, di usia aku sekarang, apa keutamaan aku? Keseronokan sekarang atau kejayaan dan kebahagiaan masa hadapan? Sebab di masa depan nanti, kau tentu tak mahu toleh ke belakang mengenang masa silam dengan penyesalan. Kau perlu toleh untuk berterima kasih kerana kau menjadi apa yang kau dan keluarga kau banggakan sekarang. Mengenang masa silam dengan senyuman.
:)


15 Nov 2013

Selamat

November 15, 2013
Assalamualaikum.

Malam dah makin larut. Sejam dua jam lagi Subuh pula menjelang. Mata aku bila dah telan macam-macam ubat, ada yang buat lelap terus beradu, ada pula yang bikin mata terjegil tidur pun tak lalu. Heh!

Malam-malam begini, aku selalu ingin kembali pada kebiasaan aku yang dulu-dulu. Siapa yang rapat dan mengenali aku, akan tahu aku ini bagaimana orangnya. Aku suka ucap "Selamat". Selamat pagi, selamat malam, selamat tidur, selamat makan, selamat pulang, selamat dan selamat dan selamat lagi. Kadang ada yang rimas, kadang ada yang menghargai. Bagi aku "Selamat" itu keramat, ia ibarat mendoakan untuk kesejahteraan orang yang diucapkan kepada itu. "Selamat" ibarat penghubung, buat aku terasa yang jauh mampu jadi dekat.

Aku masih seperti dulu, "selamat" masih lagi denganku, tak pernah kekang dari bibirku bila berbicara bersama orang-orang yang aku sayang. Tapi sekarang, bila aku harus melupakan rasa pada seseorang, "Selamat" itu harus aku jauhkan supaya aku tak terasa dekat lagi. Biar ada jarak, biar jauh, asal rasa itu suatu hari hilang juga. Biar aku kenal insan itu macam awal-awal dulu, tanpa rasa. Dan ketika itu, "Selamat" itu pasti akan kembali, "Selamat" yang bukan lagi diucap dengan rasa yang ada seperti saat ini.

Cuma "Selamat" itu terasa sukar untuk disimpan, terasa mahu diucap pada yang perlu dilupakan, macam dulu-dulu. Sukar juga mengekang rasa. Astaghfirullah. Ampunkan aku Tuhan kerana kadang lalai dengan rasa ini. Jauhkan rasa ini Ya Allah, jika ianya tidak sepatutnya bercambah dalam hati.

Selamat malam. Ya, aku ingin ucap itu. Selamat malam. Assalamualaikum. 



12 Nov 2013

Just One Question

November 12, 2013 1 Comments
Assalamualaikum.

Isnin, semalam, aku menghadiri satu lagi follow up. Kalau ikutkan hati, tak larat dah nak follow up, nak telan ubat, tapi kalau ikutkan sangat tak larat, ikutkan sangat putus asa, memang tak sembuhlah. Ya tak? Fikir-fikirkanlah ya Farhana. Hehe.

Selesai follow up aku ke pejabat pentadbiran untuk selesaikan beberapa hal. Aku sempat duduk berborak dengan kakak yang tugasnya menjaga housemen. Banyak aku dengar cerita doktor-doktor ditamatkan perkhidmatan, yang letak jawatan pun tak kurang ramainya juga. Tekanan, ketidaksesuaian, dan macam-macam sebab lagilah.

Dek kerana masalah kesihatan aku yang dikategorikan dalam kronik dan jangka masa panjang, kakak itu tanyakan pada aku, "Doktor tak ada perancangan nak buat benda-benda lain ke?" Satu soalan itu saja, dah cukup buat aku terpukul.


Tak berapa lama dulu, aku ada dengar orang sebut-sebut tentang berhenti kerja. Hmm. Kalaulah berhenti kerja itu sebenarnya senang. Aku cuma mampu menggeleng saja pada pertanyaan itu. Memang aku tak pernah langsung terfikirkan, kalau aku berhenti apa aku nak buat. Sebab aku masih berharap untuk sembuh dan meneruskan housemanship aku. Aku nak jadi seorang psychiatrist. Itu cita-cita aku.

Cuma kadang aku lemah dengan asakan keliling yang menyatakan mungkin lebih baik aku berhenti saja di sini dan mencari hala tuju hidup yang lain. Kedengaran memang seronok dan aku tak akan lagi seksa hari-hari melayan sakit yang tak pernah nak surut. Tapi separuh lagi dari diri aku tak nak jadi lemah.

Kerana satu soalan itu, buat aku cukup terpukul. Mata pun sukar nak lelap memikirkan masa depan dan hala tuju hidup. Aku fikir orang lain boleh buat, kenapa aku tak? Kenapa aku harus jadikan sakit dan kesakitan aku alasan? Keadaan aku tak sama dengan orang lain, tapi takkan aku tak boleh buat.

Doa itu kekuatan. Moga terus kuat untuk bina masa depan. Selamat malam. Assalamualaikum.


9 Nov 2013

Migrate

November 09, 2013 3 Comments
Assalamualaikum.

Salam hujung minggu untuk semua. Semenjak dua menjak, aku banyak duduk berfikir, sambil keluarkan planner dan conteng-conteng. Dah macam lagak gaya Perdana Menteri, macam-macam yang difikir dan nak dibuat.

Migrate. Hijrah. Dari satu tempat lama ke satu tempat yang baru. Banyak masa aku habiskan dalam beberapa minggu kebelakangan ini memikirkan tentang ini. Berhijrah ke tempat baru. Bukan impian, bukan cita-cita, tapi lebih pada perancangan. Entah kenapa, kali ini terasa tekad begitu bulat sekali, sampai lebih 10 muka surat perancangan.


Dah bosan ke duduk Malaysia? Dah berpatah arang ke? Ke nak lari jauh-jauh dari situasi dan keadaan? Haha. Bukan bukan bukan. Cumanya terasa macam nak cari pengalaman baru, nak buka mata, timba ilmu. Dalam kepala otak cuma ada dua tempat, United Kingdom dan Korea. Haha. 

Perancangannya dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang. Migrate bawa mak bawa abah dan bawa adik-adik lelaki aku yang dua orang. By that time, adik-adik perempuan aku yang 2 orang pun mungkin dah kahwin agaknya dan ada anak. Jadi, biarlah mereka dengan keluarga mereka. Aku sebagai anak sulung, biarlah aku bawa mak abah dan adik-adik lelaki aku berhijrah. Hajatnya nak sambung belajar. Paling tidak pun kalau ada mak, ada orang boleh masakkan makanan Melayu kalau aku stress belajar stress exam. Hehe. Ada abah untuk bagi aku nasihat. Ada adik-adik lelaki untuk jadi bodyguard aku di negara orang. Tak adalah kesunyian aku nanti. Dalam masa yang sama, biarlah adik-adik aku sambung belajar di negara orang. Buka mata timba pengalaman.


10 tahun, 15 tahun, dah puas tengok negara orang, pulanglah ke Malaysia. Lagipun hujan emas kan di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Bila aku duduk berfikir masa depan di usia 26 tahun ini, banyak perancangan hidup aku dah berubah jika nak dibandingkan masa umur aku 20 tahun, 23 tahun. Umur yang ketika itu asyik fikir, umur berapa nak kahwin. Haha.

Umur sekarang, perancangan hidup sedikit sebanyak dah berubah. Aku lebih banyak memikirkan kehidupan keluarga, adik-adik, dan pekerjaan aku. Soal peribadi, bila zaman muda kita dah selalu memikirkannya, di usia pertengahan kita jadi lebih longgar dan tak terlalu memaksa.  


Harap penghijrahan yang aku rancangkan dapat aku laksanakan. Walaupun hakikatnya aku tak nampak jelas lagi masa depan itu bagaimana, tapi paling tidak kalau aku merancang, ianya akan jadi jelas sedikit demi sedikit. Kan?

Teringin nak rasa pengalaman update entry blog Cahaya Yang Riang Gembira di negara orang pada musim sejuk, sambil pakai sweater tebal, baju bulu-bulu, kain lilit-lilit leher, sarung tangan bulu, dan segala macam bulu dari kepala ke kaki, dan minum kopi panas. Indahnya. Hehe.

Selamat malam semua. Semoga apa yang kita rancangkan akan terlaksana suatu hari nanti, tak kisahlah cepat atau lambat. Selamat berhujung minggu. Assalamualaikum.
:) 

8 Nov 2013

Resepi! Resepi! Resepi! Koleksi Resepi Riang Gembira!

November 08, 2013 1 Comments

Pertama sekali nak dinyatakan, ini bukanlah blog masakan macam blog Mat Gebu. Ini blog orang yang malas nak menulis, kadang cuma satu entry seminggu. Paling malas tahap terlampau, sebulan cuma satu entry.

Kiranya memang blog Cahaya Yang Riang Gembira yang dah dibina semenjak Februari 2009 macam dah nyawa-nyawa ikan. Sejujurnya, semenjak aku mula bekerja, dan dah tak banyak masa nak menulis, pengunjung blog makin berkurang. Ada pun cuma sekerat dua yang sesat dibawa enjin carian ke sini. Terima kasih pakcik Google, Uncle Yahoo, Makcik Bing dan yang seangkatan dengannya.



Bermula bulan puasa yang lalu, entah macam mana aku tergerak saja-saja nak tulis entry tentang resepi. Eceh! Padahal bukannya hebat sangat memasak, ada hati nak tulis entry pasal resepi. Hehe. Aku ingat lagi, resepi yang pertama memang paling cikai gila. Dah nama pun mudah dan jimat, memang gila punya mudah. Tutup mata, campak-campak pun siaplah orang kata. Haha.

Tapi selalu orang kata benda yang kita tak jangka itulah yang akan jadi sesuatu di luar jangkaan. Blog yang macam nyawa-nyawa ikan, visitor pun dah makin surut, tapi dek kerana resepi yang mudah dan jimat inilah aku berjaya tarik pembaca melalui enjin carian. Dan tak disangka, sampai sekarang pun orang masih duduk cari. Tak sangka entry tersebut dah nak cecah sampai 5000 view. Tsk tsk! Terharu gila. Kalau Cahaya Yang Riang Gembira boleh bersuara dan bercakap, mesti dia dah berteriak dan berterima kasih pada yang datang berkunjung. 
:) 



Dek kerana dorongan yang sebegitu, aku tambah sedikit keseriusan dalam entry resepi-resepi aku yang seterusnya. Paling utama, masakan yang aku nak kongsikan, masakan yang tak kompleks mana dan senang nak buat terutama sekali untuk golongan bujang yang masih belajar. Tambahan, nak masak yang high tech, aku belum lagi capai tahap pakar. Jadinya, kongsi apa yang aku mampu nak kongsi.

Dan kerana entry begitu dan betapa ramainya pembaca untuk entry sebegitulah semangat aku nak berblog datang kembali sedikit demi sedikit. Rasa bersemangat kembali nak hidupkan dan meriahkan lagi Cahaya Yang Riang Gembira. Macam zaman dulu kala. Walaupun sekarang masih lagi slow dan steady, harapnya dapatlah capai apa yang dihajati.

InsyaALLAH. Akan datang lagi banyak resepi untuk orang bujang, yang sedap, jimat dan tak susah mana pun. Nanti-nanti bila dah kahwin, resepi pun lainlah. Hehe. Terima kasih pada yang sudi membaca. Terutama sekali yang ada dari dulu sampai sekarang. Sayang anda-anda semua.