#2 Selepas Berbuka (Ayam Penyet Riang Gembira) : Resepi Dua Dalam Satu








Assalamualaikum.

Alahai. Terlambat nak tulis entry. Gara-gara melayankan Beto Kusyairy dalam slot Cerekarama tadi. Arman. Drama arahan Murali Abdullah. Apa yang buat aku melekat sampai 2 jam bukan saja watak utama cerita ini, tapi juga watak jahat di dalamnya, Soffi Jikan. Walaweh! Memang kasi sengat punya. Haha. Comel sangat lakonan Soffi Jikan, comel tapi jahat.

Jadinya, tadi kita dah update edisi sebelum berbuka. Makanya, inilah dia. Tadaa! Ayam penyet. Masakan yang mudah tapi agak leceh sebab banyak proses. Dan ada tiga jenis resepi yang berlainan, sampai naik pening nak pilih yang mana satu. Tak mengapa. Hari ini kita dah cuba resepi yang ini, lain kali kita cuba pula resepi lain yang ada.

AYAM PENYET RIANG GEMBIRA BERSAMA SAMBAL MELETOP


Oleh kerana ayam penyet dan sambal adalah dalam kategori lauk kering, jadinya untuk side dish yang lain, kita sediakan juga sup ayam. Sayang pula stok yang kita guna lepas rebus ayam, jadi kita ambil dan buat sup.

Dan kalau sup ayam, aku memang suka makan begini. Daun sup bertimbun, bawang goreng berenang-renang dan tak lupa sambal kicap pedas. Tahap pedasnya sampai bila mana kita hirup boleh sampai tersedak-sedak. Fuh!! Mantop!! Tambah lagi dengan air cincau ros yang sejuk dan menyegarkan. Memang hilang ingatan sekejap tentang kalori. Haish!! 


Resepi ayam penyet dalam internet terlalu banyak. Kalau berminat, anda boleh google dan cari. Ada resepi ayam penyet Wong Solo, ada resepi ayam penyet asli, dan juga resepi ayam penyet Sheila Rusly. Haaa!! Mana tak pening nak buat pilihan. Jadinya aku derhaka sana sikit sini sikit, aku gabungkan resepi yang ada.

Aku gunakan satu resepi dari MyResepi yang agak ramai juga gunakan. Jadi sebab ramai yang kata best, aku pun cubalah. Personally, aku agak kurang dengan ayamnya. Sebabnya ianya dah ke arah ayam goreng berempah. Tapi mungkin selera orang kan, lain-lain. Ada yang suka berempah macam resepi ini. Jadi untuk aku, lain kali mungkin aku akan cuba resepi lain yang tidak banyak menggunakan rempah seperti ketumbar, jintan putih, dan jintan manis.


Aku boleh katakan, rasa ayam penyet itu ada di situ. Dan aku rasa ianya juga boleh dinamakan sebagai ayam berempah masak berlada. Keh keh keh. Resepi dua dalam satu. Tak mengapalah. Lain masa lain waktu boleh cuba resepi yang lain pula. 

Untuk sambalnya pula, tak susah mana. Key ingredient dalam sambal dia adalah gula merah. Mak beritahu, gula merah adalah untuk memberi warna pada sambal tersebut. Sebab nak diikutkan, gula merah tak menyumbang sangat dalam memberi kemanisan pada masakan. Ada sumbangan tapi tak banyak. Sumbangan dia adalah dari segi warna. Haha. 


Oh ya! Ayam penyet aku tiada tauhu, tiada tempe, tiada kubis. Maklumlah orang yang makan sayur pesen telan-telan tak kunyah memang jarang sangat makan sayur. Hehe. Jadinya, seperti di restoran, ayam penyet dimakan bersama sambalnya yang pedas kaw kaw bersama nasi. Oh ya lagi satu. Sebelum dimakan, ayam tersebut perlu dipenyet dengan lesung. Dengan lembut ya. Itulah sebab ianya dinamakan ayam penyet.

Kata orang, yang membezakan ayam penyet adalah sambalnya. Itu kunci utama. Kata orang. Tapi bagi aku, ayam dan sambal sama penting. Lari sikit elemen salah satunya, maka nak dipanggil ayam penyet pun segan. Betul tak?

Okaylah. Perut dah kenyang, mata dah mengantuk. Masa untuk tarik bantal dan tidur. Selamat malam semua dan selamat meneruskan ibadah puasa. Sleep tight. Mimpi manis. Assalamualaikum.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.