Childhood Of Farhana

Assalamualaikum.

Salam Ahad. Hmm. Ahad yang mendamaikan, cuaca pun sangat menggalakkan mata untuk tidur. Sebenarnya tengah layan filem animasi Tarzan dekat TV tadi. Filem animasi keluaran 1999 itu serta merta buatkan aku teringat zaman kecil-kecil muda belia dulu. Rasanya ketika filem itu ditayangkan, umur aku 12 tahun. Dan abah beli VCD filem Tarzan untuk tontonan anak-anak dia.

Filem Tarzan antara filem yang banyak kali kami ulang tayang dekat komputer. Pasang dekat komputer, lepas itu semua adik beradik akan bergolek baring depan monitor. Tak puas tengok movie dia, sambung pula game dia. Hehe. Zaman kanak-kanak aku zaman yang paling aku kenang. Aku membesar di Miri, Sarawak. Sejak dari usia 4 tahun, kami sekeluarga berpindah dari Kota Tinggi ke Miri sebab abah dapat tawaran mengajar di Institut Perguruan Sarawak. Sampailah usia aku 14 ke 15 tahun barulah kami pulang semula ke Semenanjung.

Zaman itu zaman yang aku paling aku kenang sebab waktu itu aku paling ramai kawan. Sebab duduk dekat sana 11 tahun lamanya, jadi aku punya banyak masa nak kenal orang, rapat dengan mereka. Bila dah pindah ke Semenanjung, mulalah zaman kesunyian aku, kawan pun tak ramai sebab asyik pindah randah. Tak sempat nak kenal rapat.  Cuma di universiti saja peluang itu datang sekali lagi.

Aku pernah simpan angan-angan, aku nak pulang semula ke Sarawak, dan duduk di sana macam dulu-dulu. Mak pun teruja sebenarnya kalau dapat balik Sarawak sebab kawan dia pun ramai di sana, yang sama-sama belajar buat kek, memasak. Sampaikan aku pernah berkira-kira nak buat housemanship dekat Sarawak dulu. Hidup di Miri terlalu banyak kenangan manis.

Dulu masa kecil-kecil, mak abah selalu bawa kami adik beradik jalan-jalan dekat Taman Bulatan Miri. Walaupun agak jauh sikit dari rumah, tapi itu macam dah jadi satu rutin. Paling tidak pun abah akan bawa kami ke taman di maktab. Dekat sanalah aku "kawan baik" dengan monyet, buaya, labi-labi. Setiap kali mesti beri makan haiwan-haiwan yang ada di situ. Setiap kali habis belajar mengaji di maktab, mesti akan lari ke taman dan duduk dalam gelung-gelung, tidur. Banyak kenangan kami sekeluarga dekat situ.

Dan bila tiba hujung minggu, mak akan bawa satu plastik penuh duit syiling dan kami sekeluarga akan ke public phone dekat kawasan Tanjong Lobang. Walaupun dekat rumah ada landline, tapi mak cakap lagi jimat kalau guna telefon awam. Mak akan telefon nenek di Johor, bergayut sampai satu jam selalunya. Aku, adik dan abah akan duduk dalam kereta menunggu. Kalau bosan, aku akan ajak adik aku kait buah mangga dekat pokok tepi jalan. Sambil menunggu sambil tengok kereta lalu lalang. Hmm. Banyak kenangan manis masa aku kecil sebenarnya. Tapi bila dah besar, rasa macam tak ada apa sangat kenangan manis yang aku cipta kalau nak dibandingkan masa kecil.

Dan dulu masa kecil, sebulan sekali atau dua bulan sekali, bila dapat gaji abah akan bawa kami sekeluarga makan KFC dekat dengan Pasar Ikan Miri. Sebab itu aku memang sangat gilakan KFC. Haha. Oh memori. I love my family very much. And I hope I'll be given the chance to make my parents and siblings happy. Praying that they will always be in the pink of health.

Salam hujung minggu. Selamat memulakan hari kerja anda dengan semangat baru. Take care. Assalamualaikum.











Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.