Sampai Ketemu Lagi Cik D

1 comment
Assalamualaikum.

Entry kita dah banyak sangat diselubungi rasa gloomy, sorrow, sekarang dah masanya kita serikan sedikit demi sedikit dengan happiness, determination. Puas dah aku duduk berteleku, berfikir, tanya pada DIA tentang keputusan aku. Jadi aku rasa ini mungkin yang terbaik buat saat dan ketika ini.

Sedih nak tinggalkan Cik D, tapi mana tahu satu hari nanti akan jumpa lagi. Sampai ketemu lagi Cik Doktor Farhana. Heee. Mulai saat dan ketika ini, aku hanya seorang doktor di atas sijil. Aku nak lupakan keperitan, calit suka dan duka yang aku alami selama aku berkhidmat sebagai seorang doktor dan mula susun atur langkah untuk menempuh zaman sebagai seorang pelajar. Pengalaman berkhidmat pada masyarakat tetap satu pengalaman yang indah dan bermakna untuk aku. Akan aku jadikan panduan untuk kehidupan akan datang. 


Untuk pengajian pascasiswazah aku, masih lagi berfikir-fikir untuk memilih tempat pengajian dan course yang ingin diambil. UKM (Kampus KL), UPM ataupun UIA (Kampus Kuantan). Perlu senaraikan pro dan kontra untuk setiapnya sebelum buat keputusan.

Dan course yang aku fikirkan dan bercadang untuk ambil juga seolahnya seperti terpecah pada 2 cabang yang berbeza. Separuh otak aku kata, sambung belajar tentang sesuatu yang ada kena mengena dengan perubatan juga. Separuh lagi otak aku bilang, ambil bidang education dan jadi seorang lecturer. Mana satu masih keliru. Ada orang-orang terdekat dengan aku kata, aku seorang yang punya kehebatan menulis dan meyakinkan orang melalui penulisan tapi aku failed bila bab bercakap dan berhadapan dengan orang secara realiti. Jadinya, lecturer??? Hmm. Semua benda boleh dilatih. Kan?

Selain bidang education, bidang kesihatan yang aku berfikir-fikir untuk ambil adalah bidang farmasi ATAUPUN kesihatan telinga dan pertuturan. Dalam hidup memang banyak pilihan, tapi kena bijak untuk rancang dan buat keputusan.


Dan paling penting, kena berani. COURAGE. Apa pun yang jadi, semangat kena kuat dan hadap. Berani! Berani! Berani! Sepanjang aku menulis, adalah dalam 10 email yang aku pernah dapat yang mana orang bertanyakan pada aku tentang dunia perubatan, pendapat aku tentang sakit yang mereka hidapi atau yang ahli keluarga mereka alami. Aku sangat berterima kasih kerana ada orang percayakan aku untuk beri pandangan dalam perihal ini.

Walaupun kadang aku tak adalah arif mana sebab aku masih lagi junior, tapi aku akan tolong dan beri pendapat setakat mana yang aku tahu. Aku harap di lain masa nanti, walaupun aku cuma Cik Doktor di atas sijil, aku masih boleh bantu orang-orang, macam dulu-dulu.

Heee. Senyum selalu semua. Jaga diri ya. Have a great day ahead. Assalamualaikum.

Persis Hum Tum. Melangkah Pergi.

2 comments
Assalamualaikum.

Hmm. Surat dah siap aku taip. Persediaan nak menghala ke Master pula nampak macam berliku, sekali sekala aku asyik toleh ke belakang memikirkan keputusan yang dah aku ambil. Perasaan aku bercampur baur, gembira ada, ralat ada, sedih dah tentu ada, dan entah macam-macam lagi perasaan yang aku rasa.

Pernah tengok filem Hindustan bertajuk Hum Tum lakonan Rani Mukherjee dan Saif Ali Khan? Rani berkahwin dengan Abhishek di pertengahan cerita, namun dia kehilangan suaminya dalam sebuah kemalangan. Dek kerana tidak mahu tinggal lagi di tempat yang penuh kenangan bersama suaminya, dan tidak mahu orang keliling memandangnya dengan pandangan simpati, apatah lagi tidak mahu orang keliling selalu bertanya tentang keadaan dirinya, akhirnya Rani mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara. 


Tinggallah dia Paris, jauh dari India, jauh dari manusia-manusia yang mengenalinya. Hidupnya kini bahagia. Bahagia kerana dia bernafas di atas bumi asing, dia menjadi orang asing dan kelilingnya juga adalah insan-insan asing dalam hidupnya.  Ya benar, dia lari, lari dari kelompok manusia yang mengenalinya, lari dari keadaan sekeliling yang dia sudah biasa. Dia mahu bina hidup baru.

Saat ini, ketika ini, itulah yang aku rasa. Saban malam, aku berbaring, tapi tak pernah mahu lelap. Kalau tidur pun tak pernah mahu nyenyak. Sebab aku dari dulu hingga kini, hidup dengan terlalu mengambil kira pandangan orang lain, kata orang lain. Dalam tak sedar ianya menjadikan aku manusia penakut yang kurang keyakinan diri. Itu yang mendera aku sekarang ini.


Bila aku belek Facebook, group WhatsApp, dapat mesej dari kawan-kawan sekolej semasa di sekolah perubatan dulu, aku jadi manusia kerdil. Aku terasa kecil, malu yang amat sangat. Buka Facebook, aku lihat senior aku ramai yang hidup selesa, sudah bergelar doktor senior, doktor pakar. Belek lagi Facebook, aku tengok rakan-rakan sekelas aku yang sama-sama bergraduasi semuanya menempuh housemanship dengan susah payah selama 2 tahun dan berjaya menghabiskannya. Junior-junior pula sudah mahu bergraduasi dan bakal mula bekerja.

Bila di antara mereka, perbualan dah tentu tentang pesakit begini begitu, penat lelah kerja di hospital di klinik, semuanya tentang dunia perubatan yang aku sendiri pernah jadi sebahagian darinya. Ya, pernah!!!

Aku jadi malu dengan mereka, jadi malu dengan orang-orang yang memanggil aku doktor, jadi malu bila ada yang bertanya aku sudah posting ke berapa, dari malu aku jadi sedih bila aku rasakan aku makin jauh dari rakan-rakan baik yang ada dalam dunia perubatan. Ya, rasa malu itu buat aku terasa jauh.


Maka aku ambil keputusan menyekat rakan-rakan sekerja aku di hospital dari melihat Facebook aku. Mahu dibuang terus, aku terasa seperti tidak elok pula. Sejujurnya aku malu bila mereka melihat aku yang jatuh tersadung ditengah perjalanan hidup aku, aku rasa takut jika ada yang menyapa dan bertanya khabar. Apa yang boleh aku kata? Hmmm.

Aku terasa mahu ikut jejak langkah Rani. Persis cerita Hum Tum. Aku mahu selak buku baru dan aku mahu tinggalkan buku lama. Aku mahu jejak kaki ke dunia yang orang kenal aku bukan sebagai Dr. Nur Farhana yang tak mampu menghabiskan zaman housemanshipnya kerana dia tidak kuat menanggung dan menempuh kesakitannya. Aku mahu hilang dalam keasingan. Aku mahu jadi orang asing di dunia asing, dan mereka kenal aku cukup sebagai Nur Farhana. Seorang gadis biasa yang hidupnya kejap naik kejap turun seperti roller coster.


Maknanya pergi meninggalkan orang-orang yang mengenali kau? Ya, jauh di hati kecil aku, itu yang aku mahu lakukan. Tutup buku lama, letak tepi segalanya, buka buku baru, kenal orang baru, tempat baru. 

Mungkin juga blog baru. Siapa tahu kan. Bukan memutuskan hubungan dan silaturahim, cuma menjarak jauhkan hubungan itu. Tunggu nanti bila aku dah mampu bangun dan berdiri, aku dah mampu atasi rasa malu aku, rasa kerdil aku bila berhadapan dengan bekas rakan seperjuanganku, bekas rakan sekerjaku, aku akan kembali.

Aku mahu jadi kuat. Aku mahu jadi orang yang bangga dengan apa yang dia lakukan. Bukan seperti sekarang, yang masih ragu dan terasa seperti seluruh dunia akan memandang rendah padanya kerana keputusan yang diambilnya, meninggalkan kerjaya sebagai seorang doktor. Malah, ada saatnya aku rasa aku kini ibarat satu beban. Terasa seperti satu dunia mentertawakan aku dan memandang rendah dengan keputusan yang aku ambil.


Tapi aku tahu, itu mainan perasaan, tipu daya syaitan. Aku rapuh tapi aku tak akan patah. Aku akan bangkit. Aku akan tebus rasa malu yang aku sendiri cipta ini. Aku akan berdiri atas muka bumi ini dengan rasa bangga kerana aku adalah aku.

Bila kita hidup di dunia kerana mengejar dunia yang fana ini, maka kita akan terasa benar penatnya dan ada waktu terasa seperti mahu berputus asa. Tapi jika kita hidup kerana mengejar dunia di akhirat sana, penat itu takkan terasa atau takkan pernah ada, dan kita takkan berputus asa kerana Allah sentiasa ada. Itulah yang aku pernah lalui, lelah kerana mengejar dunia fana.

Tempoh aku bekerja setahun setengah dan sakit yang aku lalui buat aku sedar dan buka mata. Walaupun jalan yang aku ambil ini perit dan banyak likunya, aku yakin segalanya pasti ada hikmah.

Selamat malam semua. Jaga diri. Assalamualaikum.

Resepi Orang Bujang : Western Food Spaghetti Bolognese Selera Melayu

8 comments
Assalamualaikum.

Bagi menghidupkan lagi blog yang dah macam nyawa-nyawa ikan, jadinya apa kata kita tulis satu entry pasal resepi. Alah. Macam dulu-dulu kala, resepi yang datangnya bukan dari chef profesional. Cuma resepi yang terasa mahu dikongsi dari seorang gadis bujang untuk bujang-bujang lain di luar sana. Resepi yang mana mudah, murah dan jimat masa. Kenyang? Bolehlah. Haha.

Jangan terkejut. Gambar dia memang antik sikit kalau anda tengok. Gambar 76 minggu yang lepas ada, gambar masa raya tahun 2012 pun ada. Haa! Antik ke tidak? Bukan apa, malam tadi aku duduk masakkan adik aku spagetti bolognese selera orang Melayu, tak sempat tangkap gambar, makanan dah habis, barulah idea nak update blog datang.

Jadi, inilah dia, memperkenalkan SPAGHETTI BOLOGNESE SELERA MELAYU KITA. Curlasss gitu nama resepi. Kalau nak yang fancy fancy, nak macam pesen Itali, western bagai, ini bukan resepi yang anda cari ya. Sebab resepi aku adalah resepi mudah, murah, dari bujang untuk bujang. Kekeke. ^^

Terima kasih pada Mak Siah untuk resepi sedap dan mudah ini. Heee.



BAHAN - BAHAN :

1) Spagetti (ikut suka anda nak berapa pek, janji habis makan)
2) Satu botol kimball spaghetti sos (ikut suka nak perisa apa, aku selalu pakai TRADISIONAL / MUSHROOM)

*Kimball spaghetti sos aku selalu pakai 2 botol sebab rumah aku ada 5 orang yang makan dan bertambah sampai 2, 3 kali.

3) 2 @ 3 sudu besar bawang besar yang telah diblender
4) 1 sudu besar bawang putih yang telah diblender
5) 3 @ 4 sudu besar cili boh
6) Ayam cincang Ramly
7) Garam gula secukup rasa
8) Air pun secukup selera anda (kalau aku suka separa pekat, jadi aku letak air cukup-cukup ikut selera aku - GUNA BOTOL SOS SPAGHETTI KIMBALL TADI)




CARA - CARA :

1) Masak spaghetti ikut cara mana-mana pun yang anda suka, janji masak. Macam aku, aku akan panaskan air dalam periuk. Letak sikit minyak zaitun dan sikit garam. Sikit saja. Bila dah mendidih air, masukkan spagetti. Jangan undercook dan jangan overcook okay. Pandai-pandai agak, keluarkan, rendam dalam air sejuk kejap dan rasa. Kalau mentah, masak lagi. Jangan kembang sangat sudah.

*Dalam televisyen orang ajar nak tahu spaghetti dah masak ke belum, campak ke dinding. Kalau melekat maknanya dah masak. Hoho.

2) Keluarkan kuali, panaskan dan letak minyak. Minyak pun jangan sikit sangat dan jangan sampai mengelemih sangat. Asal cukup untuk tumis segala bahan yang ada tadi.

3) Bila minyak dah panas, tumis bawang besar dan bawang putih tadi sampai garing.

4) Agak-agak dah garing dan kekuningan, tumis pula cili boh tadi sampai garing juga. Lagi garing cili boh lagi sedap nyum nyum.

5) Agak dah garing, masukkan sos kimball tadi. Botol dia jangan dibuang. Kita gunakan untuk isi air. Selalu aku gunakan botol tersebut, anggaran air dia lebih kurang satu botol kimball spaghetti sos tapi jangan penuh sangat. Dalam 3/4 lebih sikit pun boleh.

6) Kecilkan sikit api sebab takut kuah dia meletup-letup masa tengah masak. Sebelum masukkan air, masukkan ayam cincang dan gaul sampai sebati. Agak-agak ayam dah cun sikit, masukkan air botol kimball spaghetti sos tadi. Biarkan dia sampai menggelegak.

7) Masukkan garam dan gula secukup rasa. Dan siap!!! 


Okay, sekian resepi dari orang bujang untuk orang bujang. Tak susah pun, kalau teringin nak makan sesuatu, kena usaha sikit, kalau tak memang kebulur. Okay?

Jaga diri. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera. Assalamualaikum.


Master? Doktor?

2 comments
Assalamualaikum.

Apa khabar semua? Harapnya khabar yang baik-baik dan sihat-sihat saja hendaknya. 2014 dah masuk ke bulan Februari, dan hidup aku sekali lagi diasak dengan krisis kehidupan. Ibarat berdiri di atas tali, entahkan jatuh entahkan bertahan.

Kalau nak diikutkan dan dicongak, sudah mahu hampir 2 tahun aku menamatkan pelajaran dan bekerja sebagai seorang Pegawai Perubatan Siswazah. Ke mana kalau aku pergi, dengan sesiapa yang aku borak, ramai suka memanggil aku dengan gelaran yang aku ada.

"Doktor!" "Doc!" 

Perasaan aku?


Ya. Sepatutnya aku gembira dengan panggilan itu, aku patut bangga dengan diri sendiri yang berhempas pulas menghabiskan 5 tahun lebih pembelajaran aku di sekolah perubatan dan akhirnya keluar dengan gelaran Doktor.

Tapi hakikatnya, aku tidak rasa segembira mana, aku tak rasa bangga mana, kadang aku rasa rimas, kadang waktu pula aku rasa betapa tidak sesuainya aku dipanggil doktor. Seperti tidak ngam orang kata.


Aku tak nafikan itu sebenarnya adalah jalan yang aku inginkan, cita-cita aku dari dulu. Tapi bila sekarang sudah berada di posisi itu, ya aku rasa perit pada mulanya bekerja sebagai seorang Pegawai Perubatan Siswazah, tapi lama kelamaan aku rasa seronok dan boleh menyesuaikan diri. Alah bisa tegal biasa bak kata pepatah. Tapi dengan kesihatan yang kejap rasa elok dan sembuh, kejap rasa teruk dan makin serious, perlahan-lahan rasa seronok dan teruja aku hilang.

Perlahan-lahan aku rasa seolah seperti satu hubungan itu makin hari makin renggang. Begitulah yang aku rasakan dengan kerja aku. Orang kata "spark" itu semakin hilang kerana sakit yang tak pernah-pernah kebah dan hilang. Aku bukan merungut dengan ujian dan dugaan ini, cuma aku rasakan aku perlu ubah hala tuju dalam hidup aku. Dengan keadaan kesihatan aku sekarang, aku rasa doktor bukan lagi jalan aku.


Dah seminggu lebih aku menyerabutkan otak memikirkan rancangan untuk masa depan. Rancangan yang orang lain kalau dengar pasti menentang keputusan aku dan merasakan betapa sayangnya jika aku benar-benar membuat keputusan itu.

Walaupun umur aku sudah cecah 27, tapi aku tetap tak yakin dengan keputusan yang aku buat sendiri. Aku lagi tak yakin jika aku perlu bincangkannya bersama kedua orang tuaku. Sudah seminggu lebih ini jugalah aku duduk menggaru kepala memikirkan bagaimana aku perlu berdepan dengan kedua orang tua aku. Walaupun aku perlu buat keputusan untuk diri sendiri dan masa depan aku, sedikit sebanyak aku takut keputusan aku akan menjejaskan keluarga aku. Jujur aku bimbang.

Ya, aku mahu resign. Tak perlu lagi panggil aku dengan gelaran DOKTOR. Doktor aku cuma atas nama dan sijil saja. Hati aku begitu berkobar-kobar mahu menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Master in Health Science di UKM. Cuma kursus apa masih lagi aku pertimbangkan. Setahun. Dan selepas itu beri aku peluang sekali lagi mewarnakan jalan kehidupan aku bukan lagi sebagai seorang doktor. InsyaALLAH, jika diberi rezeki dan peluang, doktor falsafah pula yang seterusnya.


Tapi aku masih perlu berbincang dengan kedua orang tuaku. Untuk meyakinkan mereka, itu juga satu kerja. Aku harap jalan aku dipermudahkan. Lagipun aku tiada perancangan mahu berkahwin, calon pun tiada, jadi biarlah aku tempuh usia-usia nak menjejak 30 tahun dengan buku-buku. Aku harap perancangan aku akan mengubah sedikit sebanyak masa depan aku. Kesihatan lebih penting dari wang ringgit. Kerja gaji banyak pun kalau badan tak sihat, tak guna juga.

Sekarang aku perlu berusaha untuk realisasikan rancangan hidup aku. Bismillah.

Salam Ahad semua. Selamat pagi. Assalamualaikum.
^^

Cahaya Yang Riang Gembira. Dikuasakan oleh Blogger.